Tuesday, September 2, 2014

Prosedur LPPKN Johor Bahru



Assalamualaikum... 

Hari ini saya nak berkongsi cerita insyaAllah dengan agak detail sikit mengenai LPPKN. Tahu apa LPPKN? LPPKN ini adalah singkatan untuk Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara. LPPKN ni selain membantu golongan yang sukar mendapat anak untuk memperolehi cahaya mata (sub-fertility), ia juga membantu golongan yang ingin merancang keluarga. Dengan ertikata lain Family Planning. 

Saya juga termasuk dalam golongan yang sukar memperolehi cahaya mata. Golongan Trying to conceive (TTC). Jadi, disini saya nak kongsi maklumat bagi sesiapa yang terbaca blog ini yang ingin tahu dan ingin memperolehi zuriat. Actually, boleh jugak sebenarnya nak buat appointment dengan pakar O&G di hospital-hospital kerajaan, murah, dan kalau kakitangan awam boleh dapat free, tapi kena tunggu lama sikit la. 

LPPKN ini masih di bawah subsidi kerajaan tapi kena bayar sikit la, keistimewaannya tak payah tunggu berbulan-bulan nak jumpa doktor. Murah sikit daripada jumpa O&G Private sepenuhnya. Cuma, LPPKN terima pasangan yang telah setahun berkahwin. Itu saja syaratnya. Kalau belum sampai setahun dia suruh cuba natural dulu, kecuali umur anda telah mencecah 30 tahun. 6 bulan kawen dah cukup. 

Apa prosedur untuk ke LPPKN? Bagi yang nak ber TTC lah ye. Tapi saya mula-mula sekali pergi LPPKN ni awal tahun 2014. So mungkin nilai wang yang kena bayar tu aku anggar anggar sahaja.

Disini saya akan kongsikan langkah-langkah yang perlu dibuat untuk membuat rawatan di LPPKN. Saya buat di LPPKN JB. Tempat lain mungkin lebih kurang sama prosedurnya.

STEP 1:
  1. Day 1 period cycle: Call LPPKN untuk appointment pertama. Tak kisah regular atau tak regular, bila period sahaja terus call , tapi Ahad hingga Khamis la.. jumaat dan sabtu cuti.
  2.  Tanya jumlah wang yang perlu bawa untuk bayaran. (Lebih kurang RM250).
  3. Kalau boleh pastikan yang anda tidak bersama suami 3-5 hari sebelum appointment pertama. Tujuannya, masa 1st appointment tu kena buat Sperm Analisis. Tapi, kalau kurang 3 hari, jangan risau sebab nanti appointment kedua boleh buat juga.
  4. Booking appointment untuk HSG pada antara hari ke 8 hingga 10 period (pastikan pada tarikh ni darah haid dah kering ye).
  5. Sediakan mental dan fizikal untuk appointment pertama.

STEP 2:
  1. Pergi la ke LPPKN seperti masa dan tarikh yang ditetapkan oleh LPPKN, biasanya hari ke 2 atau ke 3 period.
  2. Beritahu tempoh perkahwinan anda.
  3. Ceritakan sejarah kesihatan diri anda dan suami serta kesihatan keluarga kedua-dua belah pihak.
  4. Bagi perempuan, perlu detailkan berapa lama tempoh period anda, macam mana flow, ada senggugut ke, berapa hari heavy flow dan sebagainya.
  5. Bagi suami, beritahu kalau sebelum ni pernah sakit berkaitan virus (cth: chicken pox yang lama, atau beguk) atau ade tiriod ke tak.
  6. Nurse akan ambil darah isteri untuk pemeriksaan tahap estrogen dalam darah dan hormon LH dan dan FSH dan yang sewaktu dengan nya.
  7. Ambil darah suami untuk tahu HIV dan ada masalah darah yang mengganggu kesuburan atau tak.
  8. Nurse akan suruh suami keluarkan benih secara manual (samada dengan bantuan isteri atau tak) dalam bilik khas untuk sperm analisis. Tapi kena pastikan anda telah tidak bersama selama 3-5 hari. Kalau lama sangat dah tak bersama pon tak boleh jugak, kalau telah bersama kurang 3 hari pon tak boleh jugak. Kalau masa ni korang tak boleh nak proceed untuk buat SA suami. Takpe, next appointment, dia akan pesan untuk tidak bersama suami selama 3 hari sebelum tarikh appointment tu.
  9. Nurse akan pesan untuk membuat HSG di klinik-klinik tertentu dengan bayaran tertentu pada hari ke 8 hingga 11. Kalau dekat JB ada banyak pilihan. Tapi masa saya buat rawatan, nurse yang akan buatkan appointment di Columbia Hospital (RM180). Bagi yang nak buat appointment sendiri, dinasihatkan bila hari period pertama je buat appointment HSG ye. Takut penuh.
  10. Kemudian boleh buat bayaran pendaftaran dan nurse akan bagi kad appointment.

STEP 3:
  1. Pada appointment kedua, kena ambil darah lagi untuk isteri sahaja.
  2. Suami yang belum buat SA bagi yang missed SA pada appointment pertama akan buat SA masa ni.
  3. Buat bayaran less than RM 100.
  4. Nurse akan suruh call pada hari pertama next period untuk appointment dengan doktor. Jangan lupa call.
STEP 4:
  1. Day 1 next cycle period: Call LPPKN untuk appointment doktor. 

STEP 5: 
  1. Appointment ke 3 LPPKN, pertama bersama doktor.
  2. Doktor akan terang semua result-result ujian darah yang ada serta result SA suami.
  3. Selain tu mungkin doktor akan scan untuk tengok ada fibroid atau cyst ke tak ye. (sesiapa yang tak pernah jumpa doktor sebelum ni la), untuk PCOS dia boleh detect melalui ujian hormon LH dan FSH tu. nanti doktor akan terangkan jangan risau ye. 
  4. Kalau tiada masalah rumit dengan suami atau isteri, doktor akan terus proceed dengan clomid dahulu bergantung dengan tahap hormon isteri. Tapi selalunya dia akan mula dengan dos rendah la, kalau hormon sangat rendah pon paling tinggi dia akan mula dengan sebiji clomid sehari. Untuk mengelakkan ovari teroverstimulated. Bahaya ye. So jangan ambil clomid tanpa nasihat pakar. Ni doktor LPPKN ni bagitau sebab ada sesetengah doktor klinik-klinik biasa terus bagi high dosage. Doktor tak tahu macam mana tahap hormon dalam badan ni mengstimulate kan kilang telur untuk mengeluarkan telur. Ada yang bantu sikit dengan dos clomid yang kecik je, terus aktif keluarkan telur, so selamat dengan mula dengan dos kecik dulu. Ada yang mula dengan half pil per day tau. maksudnya 25gm sebab paling kecik dosage adalah 50mg per pil. sebab tahap hormon dalam badan dia takde la kritikal sangat. Macam aku ni, hormon badan low sangat hasil dari result darah dan cycle period aku yang lama more than 35 days,  so dia bagi 50gm untuk 5 days je, nak tengok tindak balas badan sue dengan clomid, Alhamdulillah, dengan dos yang kecik, my body terima dan ovary diransang untuk ovulate pada masa yang normal. less than 35 day masa sue makan clomid 1st cycle tu. Boleh tengok dekat sidebar ni. 1st time dengan clomid cycle aku 33 hari je, Alhamdulillah.
  5. Selalunya kalau suami takde masalah, doktor akan bagi clomid dan suruh cuba natural dulu. lepas beberapa cycle dengan clomid dia akan suggest IUI pulak.
  6. Tapi kalau suami ada masalah sikit, dia akan suruh proceed dengan IUI terus je. sebab chance lebih tinggi sebab dia akan pilih benih terbaik je nak masukkan dalam rahim isteri.
Saya rasa sampai sini je kot yang sama. Step lepas ni bergantung dengan jenis rawatan masing-masing. Selamat berjaya semua. 

Nasihat saya: 

  1. Sambil-sambil buat treatment dengan doktor, sentiasa berdoa dengan Allah. Jangan putus berdoa.
  2. Kalau boleh makan makanan seimbang sepanjang treatment dan berTTC, jauhilah makanan-makanan seperti jeruk, nenas, tebu dan segala benda yang tajam.
  3. Jangan campurkan jamu dan ubat doktor. Minum susu kambing, madu, kurma ,kismis tu boleh. Tapi BIODEX atau Fertile Aids atau Bidadari, pendek kata yang ubatan proses-proses yang lain yang khas untuk kesuburan tolong HENTI kan dahulu.
  4. Ada yang kata semua susu kambing, madu tu jangan makan dulu sebab panas. tapi bagi aku boleh makan dan minum susu kambing dan madu, tapi dalam kuantiti terkawal. Yes memang aku akui madu dan susu kambing tu panas, tapi aku kurangkan pengambilannya. Ambil sikit je dan banyakkan minum air.
  5. Kurma dan kismis amalkan, takyah pikir panas ke tak panas.
  6. Kurangkan berat badan. tak kisah la dengan cara apa pon, puasa, jogging, swimming, premium beautiful, tapi kalau nak diet, diet secara sihat. Sarapan WAJIB!!, makan tengahari portion yang sedikit, Makan malam sebelum marghib portion yang lagi sikit dari tengahari atau tukar dengan buah terus, makan banyak mana pon takpe kalau malam. 
  7. Teruskan dengan amalan lain, niat ikhlas kerana Allah.
  8. Lagi sekali last, NIAT. Bila bersama niatlah kerana Allah taala, dan kerana tanggungjawab kepada suami. Jangan terlalu mengharap. Wallahualam, bila Allah kata sampai rezeki kita, akan sampai jua.

Monday, August 18, 2014

Lelaki & Kesuburan



LELAKI & KESUBURAN


Ketidak suburan bukan sahaja berlaku di kalangan wanita tetapi boleh juga berlaku di kalangan lelaki. Bahkan, ada banyak kes masalah kesuburan berpunca daripada suami yang enggan bekerjasama menjalani pemeriksaan, menyebabkan rumah tangga sunyi sepi dan isteri terpaksa berdepan pelbagai tekanan emosi.

Berdasarkan kajian, masalah kesuburan boleh dipecahkan kepada 20 peratus membabitkan lelaki saja dan 30 peratus membabitkan lelaki dan perempuan, manakala 15 peratus lagi pasangan didapati normal.

Ini menunjukkan lelaki menyumbangkan 50 peratus masalah di kalangan pasangan yang tiada anak.

Penyelaras Pusat Kesuburan Konsep, Vivian Tan, berkata lelaki hanya perlu menjalani ujian air mani, sedangkan si isteri terpaksa melalui beberapa pemeriksaan iaitu ujian keseimbangan hormon, imbasan ultra-bunyi bagi memastikan rahim dan saluran tiub fallopia tidak bermasalah dan tiada ketumbuhan, endometriosis atau fibroid serta pemeriksaan kualiti telur.

Malangnya, tidak ramai lelaki sanggup merendahkan tembok keegoan kerana bimbang jika disahkan masalah kesuburan berpunca daripada mereka, ia boleh dianggap mencalarkan harga diri.

Namun, anggapan lapuk ini perlu diketepikan kerana lebih cepat mereka menjalani pemeriksaan (iaitu selepas setahun berkahwin dan kerap mengadakan hubungan kelamin tetapi masih tiada anak, terutama di kalangan pasangan berusia), masalah lebih mudah diselesaikan.

“Lelaki hanya perlu jalani pemeriksaan air mani. Jangan ingat, bila ada air mani bermakna lelaki itu subur, kerana ada banyak kes lelaki mengalami masalah kekurangan atau tiada sperma. Jika dua kali pemeriksaan menunjukkan keputusan normal, pemeriksaan seterusnya berpindah kepada isteri.

“Keputusan normal ini bermakna lelaki mempunyai jumlah sperma sebanyak 40 juta/mililiter. Secara kasarnya jumlah ini memang banyak, tetapi sebahagiannya mungkin mati, cacat atau tidak boleh berenang.

“Daripada jumlah ini, 20 juta sperma perlu bergerak aktif dan boleh berenang pantas untuk melepasi ruang dalam rahim dan salur tiub fallopia. Ini penting kerana sperma perlu berenang sejauh 18 kilometer mengikut jarak sperma sebelum sampai ke telur,” katanya.

Sebanyak 15 peratus sperma yang boleh berenang aktif ini pula mesti mempunyai bentuk normal. Sperma tidak normal seperti berkepala dua, bentuk kepala kecil, terlalu besar, tajam atau bengkok ekor bercabang dua tidak boleh bersenyawa dengan telur.

Bagaimana sperma dihasilkan? Sperma terhasil daripada pembahagian sel yang berulang dalam testis pada kadar 100 juta sel sehari. Penghasilan sperma adalah satu proses panjang dan ia mengambil masa tiga bulan untuk matang.

Sperma matang ini akan berpindah ke dalam epididimis iaitu tiub bergelung, sepanjang tujuh meter dan menyambungkan antara testis dan vas deferens. Sperma matang akan bergerak sepanjang tiub dan disimpan di bahagian bawah (antara dua hingga 10 hari) sehinggalah diperlukan ketika ejakulasi.

Secara purata, lelaki normal mengeluarkan kira-kira tiga mililiter setiap dua hari ketika ejakulasi. Ketika ejakulasi, sperma akan dikeluarkan dulu bersama cecair prostatik, disusuli cecair semi vesikal (yang akan beku dan menjadikan air mani pekat seperti gel).

Masalah kesuburan lelaki boleh dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu:


1) Masalah sperma akibat kecacatan kongenital (sejak lahir) pada organ peranakan lelaki seperti:

- Ketiadaan vas deferens (tiub panjang yang menyalurkan sperma) dan sperma tidak boleh keluar melalui pancutan air mani. Ini menyebabkan air mani tidak mengandungi sperma langsung apabila dianalisis.

Daripada sini, pakar urologi akan menjalankan siasatan lanjutan terhadap keadaan fizikal buah zakar seperti saiz dan kedudukan melalui ujian hormon, sinar-X dan ultra bunyi.

- Masalah vas deferens tersumbat — dapat diatasi melalui pembedahan, pengambilan ubat dan biopsi.








 2) Air mani tidak dapat dikeluarkan, sebaliknya mengalir balik ke dalam pundi kencing. Masalah ini boleh disebabkan penyakit kencing manis atau pengambilan ubat tertentu. Pasangan boleh dibantu mendapatkan anak melalui teknik persenyawaan in-vitro (IVF). Namun kes ini jarang berlaku.




3) Genetik — Sama ada membabitkan kromosom, sista fibrosis atau masalah sindrom autoantibodi yang menganggap sperma sebagai bahan asing yang perlu dimusnahkan. Masalah autoantibodi biasanya membabitkan lelaki yang pernah menjalani vasektomi (kaedah pemandulan dengan mengikat vas deferens terutama di kalangan lelaki Barat). Bagaimanapun, kes ini juga jarang berlaku.


4) Masalah hormon — Paras testosteron atau hormon tiroid terlalu rendah. Masalah ini boleh diatasi dengan pengambilan ubat.




5) Gangguan seks — Seperti mati pucuk atau ejakulasi awal. Ini biasanya disebabkan tekanan, pengambilan ubat antidepresan, mengawal tekanan darah tinggi atau kolesterol. Ubat penguat seks seperti viagra bagaimanapun hanya untuk ereksi, tetapi tidak membantu menambah jumlah sperma.


6) Masalah urat (salur darah) pada testis kembang atau timbul. Akibatnya, aliran darah tidak lancar dan boleh merosakkan epididimis dan mengurangkan jumlah sperma. Masalah boleh dibantu melalui pembedahan dan IVF.


 7) Senaman keterlaluan seperti angkat berat. Dalam keadaan ini, badan menghasilkan steroid yang menyebabkan masalah ereksi, mengganggu keseimbangan hormon dan mengurangkan penghasilan sperma.




8) Tekanan, terutama di tempat kerja atau masalah psikologi. Namun ia biasanya lebih dialami wanita 






9) Obesiti — Kesuburan lelaki boleh menurun jika terlalu gemuk kerana mereka mungkin berdepan masalah kekurangan atau tiada sperma langsung.




10) Pengambilan dadah, alkohol dan merokok. Tiga faktor yang perlu dielakkan jika mahu kekalkan kesuburan.
 






11) Terdedah kepada bahan beracun atau pencemaran.




12) Makanan, terutama jika terlalu banyak makan makanan laut (tiram, kepah, lala, kerang, kepala udang) kerana ia mengandungi banyak raksa yang boleh mengurangkan jumlah sperma.




13) Rawatan kemo atau radioterapi boleh membunuh semua sel dan sperma. Oleh itu Tan menasihatkan lelaki yang perlu menjalani rawatan ini supaya menyimpan sperma dalam bank sperma untuk digunakan kelak.


14) Serangan penyakit seperti buah pinggang, sirosis hati dan kurang zat. Malah, lelaki yang mendapat beguk selepas akil baligh juga boleh mengalami masalah kekurangan atau ketiadaan sperma. Puncanya masih tidak diketahui.







“Masalah kesuburan ini akan terus berpanjangan jika tidak mendapat rawatan. Ada juga lelaki yang pada awal perkahwinan normal, tetapi menjadi tidak subur selepas beberapa ketika atas faktor yang diceritakan tadi.

“Namun bagi pasangan yang berkahwin lewat, segeralah buat pemeriksaan jika tidak mendapat anak selepas setahun berkahwin.

“Banyak kaedah moden boleh membantu pasangan mendapatkan anak, asalkan lelaki sanggup bekerjasama,” katanya.

Antara teknik yang biasa digunakan ialah persenyawaan dalam rahim (IUI, sperma terbaik akan dipilih dan dimasukkan ke dalam rahim isteri untuk persenyawaan) sesuai bagi lelaki yang mengalami masalah bilangan sperma rendah (15 juta hingga 17 juta/mililiter).

Jika tidak berjaya, pasangan boleh beralih kepada teknik IVF (persenyawaan luar rahim, embrio akan disuntik ke dalam rahim isteri).

Namun, pasangan berumur disarankan supaya terus menggunakan kaedah ini.

Kaedah terbaru adalah suntikan sperma Intra-sitoplasmik (ICSI) iaitu teknik persenyawaan secara mikromanipulasi atau bantuan di mana sperma akan disuntik ke dalam telur di bawah mikroskop supaya tersenyawa menjadi embrio sebelum dimasukkan ke dalam rahim.

“Jika anda mengalami masalah kesuburan, jangan malu kerana anda bukan bersendirian. Lebih baik jalani pemeriksaan saintifik (rawatan moden) untuk mencari puncanya.

“Namun, jangan harap boleh berlaku perubahan mendadak selepas menjalani rawatan kerana sperma mengambil masa lama untuk dihasilkan.
“Sehingga kini tiada kaedah boleh membantu memulihkan keadaan sepenuhnya atau mencapai tahap normal, tetapi jangan cepat putus asa, sebaliknya terus berusaha mendapatkan zuriat,” katanya.